BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Madah Mutiara

.

.

diaktifkan oleh Klik1Malaysia.com

Tuesday, October 26, 2010

Parlimen Mahasiswa

Parlimen Mahasiswa USM akan bersidang buat pertama kalinya di negara kita pada 23 Oktober 2010. Namun,telah diadakan ‘mock’ persidangan pada 25 September yang lalu dan membahaskan 10 usul. Parlimen Mahasiswa ini merupakan satu usaha mahasiswa dan pihak universiti untuk menyediakan satu platform yang terbaik bagi membenarkan mahasiswa menyampaikan segala pandangan, kritikan, tuntutan dan saluran idea kepada pihak universiti seterusnya kepada mahasiswa itu sendiri.

Parlimen Mahasiswa ini dianggotai oleh semua lapisan pimpinan mahasiswa iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan mahasiswa, persatuan kolej-kolej kediaman dan sekretariat-sekretariat mahasiswa. Idea penubuhan parlimen mahasiswa ini disambut baik oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Beliau juga telah menerima kerangka asas penubuhan Parlimen Mahasiswa daripada saya sendiri yang ketika itu menyandang jawatan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2008/2009. Demikian adalah ringkasan penubuhan Parlimen Mahasiswa yang pertama di negara ini.

Secara hakikatnya, Parlimen Mahasiswa ini mempunyai beberapa prinsip utama yang mampu sedikit sebanyak melahirkan pemimpin mahasiswa yang bersifat holistik. Prinsip utama dalam Parlimen Mahasiswa adalah prinsip mahasiswa bersemuka dan bukan bermuka-muka.

Parlimen Mahasiswa ini dianggotai oleh tiga badan utama pimpinan mahasiswa, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan-persatuan mahasiswa dan persatuan kolej-kolej kediaman. Ketiga-tiga badan ini akan bersemuka untuk berbahas dan berbincang tentang isu-isu yang diketengahkan.

Perkara yang penting adalah mahasiswa akan bersemuka dan tidak bermuka-muka apabila sesuatu isu atau konflik berbangkit agar penyelesaian kepada isu tersebut dapat difikirkan secara bersama. Sebelum ini, jika kita lihat, ternyata wujudnya suatu kekangan atau halangan bagi mahasiswa daripada pelbagai badan pimpinan ini untuk bersemuka.

Oleh itu, dengan adanya platform Parlimen Mahasiswa ini, pimpinan mahasiswa daripada pelbagai penjuru akan dapat bersemuka dengan lebih tersusun dan terhormat.

Prinsip seterusnya adalah prinsip mahasiswa beridealisma dan berwibawa. Dalam perbahasan parlimen mahasiswa, pemimpin mahasiswa akan mewakili suara badan pimpinan masing-masing. Jika ada pertikaian atau kritikan terhadap badan pimpinan yang mereka wakili, mereka akan mempertahankan badan pimpinan mereka dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dapat menyelamatkan mereka daripada fitnah atau kritikan yang tidak benar.

Secara tidak langsung, pemimpin mahasiswa sesuatu badan tersebut akan dapat menyampaikan usaha yang mereka telah lakukan kepada seluruh pimpinan mahasiswa universiti. Mudahnya, pemimpin persatuan-persatuan mahasiswa dapat melatih diri supaya menyampai dan mempertahankan idealisma mereka dalam berpersatuan.

Bukan semata-mata bekerja melaksanakan projek-projek tahunan persatuan dan akhirnya disambung oleh pimpinan yang akan datang.

Prinsip seterusnya adalah prinsip mahasiswa sepakat. Parlimen mahasiswa akan membincang dan membahaskan usul-usul yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan pelajar. Disamping itu, isu-isu semasa turut boleh dibahaskan dalam perbahasan usul.

Selalunya, sesuatu cadangan atau bantahan yang hendak disampaikan kepada universiti akan dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar, dan kadang-kala ada suara yang mengatakan bahawa cadangan Majlis Perwakilan Pelajar bersifat‘syok sendiri’ dan tidak ada perbincangan yang menyeluruh dengan mahasiswa sebelum cadangan atau bantahan itu dibawa kepada pihak universiti.

Namun, dengan adanya satu platform seperti Parlimen Mahasiswa, kita akan dapat memungut dan membahaskan suara-suara mahasiswa dengan menyeluruh jika terdapat cadangan usul atau bantahan yang dikemukakan. Selanjutnya Majlis Perwakilan Pelajar dapat menggunakan pandangan menyeluruh ini untuk dibawa dengan jelas kepada pihak universiti. Kaedah ini dapat meningkatkan lagi kesepakatan antara mahasiswa itu sendiri. Selanjutnya konsep daripada mahasiswa kepada mahasiswa akan dapat diaplikasikan.

Kesimpulannya, penubuhan Parlimen Mahasiswa adalah satu impian mahasiswa supaya suara mereka didengari oleh pihak universiti. Maka, pihak universiti perlu menyediakan satu platform yang diiktiraf oleh mereka sendiri demi mengumpul dan menyalurkan pandangan dan idea mahasiswa.

Prinsip-prinsip dalam hakikat penubuhan parlimen mahasiswa ini, dapat mendokong impian melahirkan pimpinan mahasiswa yang holistik. Bukan sahaja boleh memimpin persatuan tetapi boleh menjawab dan berbahas tentang apa yang dipimpinnya.

Sekarang ini, penubuhan Parlimen Mahasiswa sudah dimulai di Universiti Sains Malaysia. Semoga ianya dapat diteruskan oleh universiti-universiti lain juga.Walaupun terdapat banyak pihak pengurusan universiti yang tidak bersetuju akan penubuhannya kerana bimbang tidak mampu mengawal mahasiswa pada masa akan datang, namun pihak universiti perlu matang dan waras untuk melayani kehendak mahasiswa daripada bersuara.

Tunku Abdul Rahman pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui

Penulis merupakan Ahli Perundangan Pelajar, Parlimen Mahasiswa UPM, dan mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM 2008/09

1 comments:

Anonymous said...

bgus jgk kalu adaparlimen mahasiswa...at least 2 bulan sekli.....sume kepimpinan pelajar spt mpp,jpk,smf,mt persatuan-persatuan.....ddk satu dewan...bincang mslh yg dihadapi dlm kampus.....try finding the solution....lps tuu bwk perkara berbangkit kepad pihak atasn ....