BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Pages

Madah Mutiara

.

.

diaktifkan oleh Klik1Malaysia.com

Sunday, May 1, 2011

Menduakan cintanya

Menduakan cintanya
Bila ujian cinta menjalar, dimana panduannya?

“Salahkah bercinta?” “Allah yang hadirkan cinta, takkan tak boleh layan?” “kalau tak bercinta, macam mana nak kenal bakal pasangan?”
Begitulan antara keluhan remaja kita. Banyak persoalan di minda yang masih belum terjawab. Siapa yang akan menjawabnya?
Adakah pengalaman orang dewasa di sekeliling mereka yang akan menjawab? Atau logik minda mereka sendiri akan menjawab kesemua persoalan tersebut? Atau penangan media massa yang akan mengilhamkan jawapan untuk mereka?
Beruntunglah remaja yang mencari jawapan yang benar daripada sumber yang maksum (terpelihara) iaitu Al-Quran dan sunnah, bukan mencari fatwa di dalam majalah-majalah hiburan, kisah cinta picisan, drama lakonan dan perbincangan kosong di alam maya.
Beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada Al-Quran dan sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran.
Al-Quran dan sunnah, dua sumber yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban dalam kesesatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “ Aku meninggalkan kamu dua perkara, tidak akan sesat selama-lamanya kepada sesiapa yang berpegang kepada kedua-duanya; kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya ”. (Riwayat Malik)
Jika ujian cinta itu amat berat dan menjalar dalam segenap hidup manusia sepanjang zaman, takkan dua sumber yang agung ini tidak memberi panduan tentangnya? Panduan untuk menguruskannya, bukan untuk membunuhnya. Masakan Islam agama yang fitrah mahu membunuh fitrah. Islam memandu kita untuk menyalurkannya secara mulia, terhormat dan bermaruah. Bersama redha Allah.
Nasihat Buat Remaja
Remajaku sayang,

Belek-beleklah panduan Al-Quran dan sunnah. Alam remajamu akan menjadi indah terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap derap langkahmu menuju masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu berasa dinaungi cinta Yang Maha Gagah. Itulah kehebatan cinta Allah.
Di mana harus dicari panduan-panduan yang praktikal agar cinta sesama manusia akan dapat memancing cinta Allah sekali gus. Insyaallah di sini Solusi salah satu jalannya. Selain mengutip panduan daripada bahan-bahan bacaan yang berfaedah, kau akan temuinya di bibir guru-guru yang beramal, orang soleh, di majlis-majlis ilmu, forum-forum, ceramah-ceramah, masjid-masjid, blog-blog yang dipercayai, laman web para ulamak dan sebagainya. Ini ialah jalan-jalan untuk kita lebih memahami Al-Quran dan sunnah. Banyak dan mudah,bukan kah begitu? Jika hendak seribu daya. Jika tidak hendak, doa-doalah agar hati menjadi lunak. Tunduk dan menyerahlah kepada apa yang Allah kehendaki.

Syirik Cinta
Selalu kita diingatkan agara tidak syirik. Ada apa dengan syirik? Syirik itu menduakan Allah. Menyembah selain Allah. Ia dinobatkan sebagai raja segala dosa besar. Dosa yang tidak mampu diberi ganti rugi untuk membeli keampunan Allah.
Mengambil sesuatu selain daripada Allah SWT sebagai sumber kecintaan yang paling utama dalam hidup bererti menggantikan tempat Allah SWT dengan selainNya. Allah SWT mendedahkan kepada kita dalam Al- Quran melalui firman yang bermaksud “ Dan di antara manusia, ada orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat seksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat seksaNya (nescaya mereka menyesal).” ( Surah Al-Baqarah 2: 165 )
Para ulamak ketika membincangkan ayat ini menyebut tentang kesyirikan dalam cinta atau ia digelar sebagai syirk al-mahabbah. Manusia menduakan cinta kepada Allah dengan makhluk seangkatan dengannya.
Bagaimana dengan cinta kita kepada makhluk saat ini? Adakah ia sedang menjadi alat untuk kita lebih dekat kepada Allah? Atau adakah ia sedang menjadi matlamat yang kita damba-dambakan sehingga melupakan Allah? Semakin besar cintamu kepada Allah, semakin kecil nilai makhluk di hatimu, apatah lagi untuk manjadikannya tandingan kepada Allah untuk diangau-angaukan.
Ketika cinta berkuasa, dirimenjadi bingung. Gundah –gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang tahu tindakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan.hati menjuih taktala mendengan kebenaran.

Aduhai hati, takutlah kepada syirik cinta! Jangan tipiskan sensitivitimu wahai kerana aku tidak sanggup memiliki hati yang mati.
Menterjemahkan Cinta Dengan Jalan-Jalan “ Taqrabu Al-Zina ”
Ya, bukan Allah tidak tahu hatimu cenderung pada si dia. Bukan Allah tidak memahami kau selalu merinduinya. Bukan Allah tidak mengerti bayangnya sering singgah di mindamu. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya. Kenapa? Supaya fitrahmu akan disalurkan secara mulia dan diredhaiNya.
Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimanakah caranya?
Kenal pasti dulu tahap kesediaanmu, wahai remaja. Dirimu sedang sibuk bergelumang dengan pelajarankan? Dirimu belum bersedia untuk berumah tanggakan? Dirimu sedang mempersiapkan dirikan? Dirimu sedang mengutamakan prioriti yang lebih pentingkan?
Kalaudirimu dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikannya dengan mujahadah. Apabila “angau” bertandang, cepat-capatlah beristigfar kepada Allah. Kita beristigfar bukanlah kerana rindu itu suatu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina diri.
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Setiap Bani Adam memiliki peluang untuk berzina. Kedua-dua mata itu berzina dan znanya adalah dengan melihat. Kedua-dua kaki berzina dan zina itu adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah dengan mencium dan hati juga berzina dan zinanya adalah hawa nafsudan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari zina tersebut”.(Riwayat Ahmad )
Gentarlah dengan firmanNya ini yang bermaksud “ Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk ”. ( Surah Al-Isra’ 17 : 32 )

Para ulamak telah menjelaskan bahawa firman Allah SWT “ janganlah kamu mendekati zina ” maknanya lebih dalam daripada “ janganlah kamu berzina ”. firman Allah tersebut bermakna “ dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina.” ( tafsir Al-Qurtubi,jil. 10, hlm. 253 ) Yakni, janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan apa-apa yang membawa kepada zina, apatah lagi sampai berzina. ( Tafsir Ruh al-Ma’ani, Jil.15, Hlm.67-68, al-Iman al-Alusi al-Baghdadi, tafsir Bahr al- Muhith, Jil. 6, Hlm.33 )
Setelah Islam memberi panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? SMS bertali arus tanpa keperluan. Call siang malam tanpa urusan. Chatting kosong tanpa isi. Dating bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan. Menghalalkan ikhtilat (pergaulan bebas) dengan istilat adik angkat, abang angkat dan sebagainya.
Inikah Bukti Cintamu?
Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?
Artikal petikan daripada Solusi Isu No 29, Mencipta Syurga Rumah Tangga, Bahagian Remaja oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin.

0 comments: