BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Pages

Madah Mutiara

.

.

diaktifkan oleh Klik1Malaysia.com

Monday, May 9, 2011

Sambut Hari Ibu Seperti Yang Ibu Mahu

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bulan Mei kembali lagi. Membawa sinar buat si ibu menguntum senyum. Direncanakan pada setiap Ahad, minggu kedua bulan Mei, Hari Ibu diraikan rakyat Malaysia.

Di sana sini pelbagai aktiviti dirancang untuk meraikan insan tersayang bergelar "ibu, emak, mama, ummi, mummy, amma, ma" atau apa sahaja gelaran diberikan kepada golongan teristimewa ini.

Tujuannya untuk menggembirakan dan menghargai jasa si ibu yang tidak ternilai dalam membesarkan anak-anak.

Justeru senario pelbagai pakej menarik, promosi hadiah, tawaran hidangan istimewa di restoran dan diskaun harga, meriah mengisi ruang akhbar, Internet dan risalah untuk memikat anak-anak menerima tawaran ini buat ibu kesayangan mereka.

Mungkin ada baiknya untuk anak-anak, namun fenomena sebegini juga dilihat cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada sambutan itu.

Pengorbanan ibu yang tidak ternilai harganya seperti sudah dikomersialkan oleh pihak tertentu dan ia bagaikan sudah tiada jiwa lagi dalam sambutan itu. Adakah itu yang sewajarnya mewarnai Hari Ibu atau bagaimana pula pilihan si ibu sendiri?

HARI IBU BUKAN HARI KOMERSIAL

Suri rumah sepenuh masa, Rabaeyah Mohd Said, berkata alasan sibuk dan tidak cukup masa dalam kalangan anak-anak masa kini dijadikan penyebab pelbagai pihak mengkomersialkan Hari Ibu.

"Tapi sebenarnya kita tidak boleh menyalahkan mereka yang menawarkan pakej itu kerana ia dilakukan untuk memeriahkan suasana sambutan.

"Mungkin ada kedengaran seperti mengaut keuntungan, namun ia berbalik kepada anak-anak itu sendiri bagaimana mereka mahu menyambutnya.

"Ada anak yang menganggap dengan membeli hadiah dan membawa ibu mereka ke tempat sedemikian sudah dapat menggembirakan hati ibu. Walhal ia hanya sampingan kerana yang penting ialah kasih sayang," katanya kepada Bernama.

Paling menyedihkan, katanya, kalau anak-anak menganggap dengan memberi hadiah atau membawa ibu mereka ke tempat istimewa, sudah cukup untuk menunjukkan tanda kasih mereka sepanjang tahun. Di hari lain ibu akan ditinggalkan sendirian kerana anak-anak akan kembali sibuk dengan urusan harian masing-masing.

RAI IBU BUKAN SEKADAR SEHARI TAPI 365 HARI

Mempunyai tiga orang anak yang sudah bekerja, Rabaeyah mengucap syukur kerana anak-anaknya sentiasa bertanya khabar dan menghulurkan kata-kata kasih dan sayang setiap kali berjumpa dan menghubungi beliau.

Hari Ibu bukan sehari tetapi setiap hari, katanya.

Mengharapkan sikap anak-anaknya itu tidak akan berubah, Rabaeyah berkata bagi seorang ibu, sebenarnya mereka lebih gemar melihat kejayaan dan kebahagiaan anak-anak berbanding pemberian hadiah.

"Pada Hari Ibu, rasa gembira sebenarnya apabila melihat mereka berjaya menghormati orang tua. Dengan hanya berkumpul sahaja, sudah cukup," katanya.

IBU DILAYAN BAGAIKAN RAJA SEHARI

Penerima anugerah Guru Takmir Kebangsaan 2011, Fatimah Ya Abdullah berkata keseronokan menyambut Hari Ibu sebenarnya adalah di rumah bersama dengan anak-anak, menantu dan cucu.

Katanya situasi sambutan di rumah jauh berbeza kerana beliau berasa lebih dekat dengan anak-anak.

"Dalam Islam Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Ini menunjukkan betapa pentingnya anak-anak menjaga baik ibu mereka bukan sekadar pada hari sambutan, tetapi setiap masa.

"Bina istana emas pun tidak akan dapat membalas jasa seorang ibu. Disebabkan menghargai kasih ibu, telah dibuat satu hari bagi mengiktiraf jasa ibu.

"Cuma, kalau boleh pada hari sambutan ini seorang ibu itu dilayan seperti Raja, tidak perlu buat apa-apa kerja rumah pun. Ini kerana ada sesetengah anak membawa ibu mereka ke hotel, atau spa pada petang hari, tetapi pada waktu pagi si ibu dibiarkan buat kerja rumah seperti biasa," katanya yang mempunyai lima orang anak.

LEBIH GEMAR SEDIAKAN SENDIRI MAKANAN KESUKAAN EMAK

Bagi Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Dr Samsiah Muhamad, sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan keluarganya untuk meraikan ibu mereka dengan membawa makanan dari rumah masing-masing.

Masing-masing sibuk menyediakan makanan kesukaan ibu mereka, Aminah Abdullah. Anak ketujuh daripada lapan adik beradik itu memberitahu bahawa mereka lebih gemar lokasi sambutan Hari Ibu diadakan di rumah secara bergilir.

"Kali ini sambutan Hari Ibu akan dibuat di rumah kakak saya. Kami masing-masing akan sediakan makanan kesukaan ibu seperti mi wantan, bubur nasi dan sebagainya.

"Ketika itu, suasana memang meriah kerana dianggarkan seramai 100 orang termasuk kami (anak-anak), menantu, cucu dan cicit akan ada bersama. Dan pada masa itu, kami (anak-anak) akan beri hadiah istimewa kepada ibu.

"Hadiah cuma nak tambahkan lagi kegembiraan sambutan hari itu. Tanyalah pada mana-mana ibu kerana mereka sebenarnya lebih gemar anak-anak selalu bersama dan berada dekat dengan mereka," katanya.

-- BERNAMA

0 comments: