BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Pages

Madah Mutiara

.

.

diaktifkan oleh Klik1Malaysia.com

Wednesday, October 12, 2011

Bumiputera tak minat lagi saham amanah?

Tarikh Disiarkan: 27 Jul, 2010 (All day)
Sumber: Utusan Online-Rencana
Oleh: DATO' SALLEH MAJID

DALAM masa satu hari sahaja (21 Julai lalu), 1.6 bilion unit Amanah Saham Malaysia (ASM) habis dilanggan oleh golongan bukan Bumiputera selepas Bumiputera tidak melanggan baki yang diperuntukkan kepada mereka. Maka timbullah beberapa pertanyaan tentang kenapa golongan Bumiputera tidak mengambil unit-unit yang diperuntukkan.

Adakah Bumiputera sudah cukup dengan unit-unit ASM yang ditawarkan selama hari ini dan tidak mahu lagi? Atau adakah Bumiputera tidak mampu lagi melanggan unit-unit saham amanah? Atau mungkinkah pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak memasarkan unit-unit ini kepada Bumiputera kerana menyangkakan Bumiputera akan datang kepadanya dan dia tidak perlu pergi memajukan lagi kepada Bumiputera?

Mungkinkah mereka yang ditanggungjawabkan dengan menjual unit-unit ini tidak ada sebarang galakkan dan bergantung semata-mata ihsan daripada wakil-wakil yang dilantik seperti Pos dan beberapa bank sahaja?

Jawapan yang mungkin ramai menerimanya sebagai sebab ialah Bumiputera sudah tidak ada kemampuan dan sudah cukup melabur dalam saham amanah. Lagi pun kalau mereka membeli dengan mengambil pinjaman, dividen yang mereka perolehi sebahagian besarnya tentulah terpaksa dibayar kepada bank.

Dari satu sudut jika diteliti pelaburan yang berdasarkan pinjaman daripada bank, bukanlah lebihan daripada pendapatan. Ia menggalakkan mereka yang ingin melabur untuk berhutang. Tapi apa nak buat. Kalau tidak dilakukan begitu lebih rendahlah penyertaan Bumiputera dalam pelaburan unit saham amanah keseluruhannya.

Dari segi pendapatan, kalau kita lihat perbezaan antara Bumiputera dan kaum lain, menurut Kajian Setengah Penggal RMK-9, pendapatan purata Bumiputera meningkat daripada RM2,711 pada tahun 2004 kepada RM3,156 pada tahun 2007 dan kalau diunjurkan kepada tahun 2009 angkanya mungkin RM3,450 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus setahun.

Bagi kaum Cina pula pendapatan purata mereka meningkat daripada RM4,437 pada tahun 2004 kepada RM4,853 pada tahun 2007. Kalau diunjurkan kepada tahun 2009, angkanya ialah RM5,150 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3 peratus setahun.

Bagi kaum India pula, pendapatan meningkat daripada RM3,456 pada tahun 2004 kepada RM3,799 pada tahun 2007. Unjuran kepada tahun 2009 dengan kadar purata setahun sebanyak 3.2 peratus ialah RM4,046.

Bagi golongan lain-lain ialah daripada RM2,312 pada tahun 2004 kepada RM3,651 pada tahun 2007. Unjuran untuk tahun 2009 dengan kadar purata 15.5 peratus ialah RM4,870.

Jurang antara Bumiputera dengan Cina telah rapat daripada 1:1.64 kepada 1:1.54 dan dengan golongan India daripada 1:1.27 menurun kepada 1:1.20.

Hakikat sebenarnya setiap ringgit yang disimpan oleh Bumiputera, mungkin bukan Bumiputera menyimpan RM10. Itu sebabnya kalau kita melihat milik hartanah, 75 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera. Setiap taman perumahan yang dibuka rumah kedainya habis terjual kepada bukan Bumiputera. Kalau ada peruntukkan rumah untuk Bumiputera dengan potongan diberikan pun tidak laku.

Daripada angka-angka di atas bolehlah dirumuskan bahawa golongan Bumiputera masih lagi golongan yang pendapatan terendah di kalangan kaum-kaum terbesar di negara ini. Kalau dikatakan PNB telah mengumpul sebanyak RM70 bilion, mungkin sudah sampai tahap kematangan dalam industri ini dari segi penyertaan Bumiputera.

Tetapi industri saham amanah di negara ini masih dianggap suatu penyertaan yang rendah kerana jika dibandingkan dengan nilai pasaran modal bursa saham, ia hanya dalam 10 peratus, sedangkan di negara yang sudah maju sehingga 25 ke 30 peratus.

Mulai sekarang mungkin PNB akan memberikan tumpuan lebih kepada golongan bukan Bumiputera kerana sambutan golongan tersebut begitu hangat. Kalau sudah diberikan kepada Bumiputera tidak mahu, berikan saja kepada yang mahu.

Sama juga dengan rumah di taman-taman perumahan yang diperuntukkan kepada Bumiputera yang tidak diambil, tak mungkin pemaju hendak simpan sampai bila-bila. Begitu juga PNB. Ia suatu syarikat yang berurusan perniagaan yang bermotifkan keuntungan dan ada tanggungjawab sosial.

Kita mengharapkan Model Ekonomi Baru yang bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat ke tahap yang lebih tinggi akan memberikan tumpuan kepada golongan yang pendapatannya masih rendah dan kurang tumpuan kepada simpanan atau pelaburan.

Kalau sudah ada lebihan daripada pendapatan tentulah lebih besar peluang untuk melabur. Kita lihat gaji guru sahaja sudahlah. Golongan yang terendah gaji di kalangan para profesional. Bagaimana kategori ini boleh menarik golongan yang lebih tinggi kelayakan mereka kalau gaji mereka begitu rendah.

Bumiputera diakui kaum majoriti yang terdiri daripada petani dan nelayan - pendapatan mereka tidak menentu. Petani masih menggunakan cara lama sedangkan pelbagai teknologi digunakan masa kini untuk meningkatkan hasil pertanian.

Teknologi maklumat digunakan untuk tugas-tugas biasa dalam pengawasan ladang.

Semuanya bakal meningkatkan hasil pertanian. Tumpuan teknologi baru ini wajar diberikan kepada petani muda kerana yang tua tidak mampu untuk meresap ilmu pengetahuan yang baru ini.

Begitu juga bagi golongan nelayan yang mungkin masih menggunakan bot warisan datuk nenek mereka. Bot patut dilengkapi dengan alat pengesan kumpulan ikan, pengesan cuaca buruk dan memiliki unsur-unsur keselamatan jika diganggu lanun dan perompak laut.

Mereka ini wajar diberikan kemudahan supaya dapat lari daripada kitaran kemiskinan yang membelenggu masyarakat nelayan dengan cara pengurusan lama. Kalau tidak setiap tengkujuh nelayan akan tidak ke laut dan meminjam wang daripada peraih. Bila sudah ke laut tangkapan digunakan untuk membayar hutang saja. Jadi dapat minyak diesel subsidi pun dijual.

Kalau hendak dikatakan masyarakat Bumiputera kurang mengerti tentang ASM selepas diperkenalkan sejak 2000 ia tidak munasabah dengan penganjuran Minggu Amanah Saham diadakan setiap tahun. Apakah golongan Bumiputera sudah merasa penyertaan mereka cukup setakat ini? Atau golongan Bumiputera sudah pandai pergi ke bursa saham terus dan tidak perlu melanggan unit saham amanah? Tak tahulah siapa yang tahu jawapan sebenarnya.

Apa pun saya merasakan dividen yang diberikan oleh PNB jangan dibandingkan dengan kadar simpanan bank tetapi patut dibandingkan dengan pulangan daripada lain-lain unit saham amanah. Kadar simpanan bank tentulah rendah jadi kalau dapat 6 atau 7 peratus tentulah tinggi. Tapi kalau banding dengan Hwang-DBS atau Public Mutual misalnya yang menawarkan dividen sampai 25 atau 30 peratus barulah dikatakan bersaing.

Saya tak tahulah sama ada PNB boleh membentuk saham amanah dengan memasukkan saham pasaran saham asing yang pada masa ini meletup di sana sini terutama sekali di India dan China. Kita tidak perlu bimbang pasal duit kita keluar kerana duit yang keluar melalui pekerja asing sama ada yang masuk secara betul atau haram, jauh lebih besar daripada 30 peratus yang dibenarkan dilabur oleh sesuatu saham amanah.

Seperkara lagi ialah setiap tahun di bulan puasa saja 100,000 orang Islam Malaysia melakukan umrah dan kalau seorang berbelanja katakan RM10,000, RM1 bilion mengalir keluar di bulan Ramadan saja! Kalau melabur di pasaran saham luar negara dapat memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur, kenapa tidak? Bukankah kita ingin meningkatkan daya saing kita?

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Dipetik dari Utusan Online pada 2 November 2010.

-------------------------------------------------------------------------------------

Pandangan Saya Sebagai Seorang Rakyat Malaysia

Sebenarnya bumiputera berminat dengan amanah saham kerana ia adalah satu wadah atau cara persediaan dalam menghadapi persaraan kelak. Masalah yang sebenar adalah dana yang disediakan oleh kerajaan (bkn bermaksud nak "hentam" kerajaan yee... :) ) melalui PNB adalah TIDAK MENEPATI SYARAK, dalam erti kata lain, duit yang disumbangkan oleh bumiputera yang majoriti beragama islam,dilaburkan di tempat-tempat @ syarikat-syarikat yang diharamkan oleh islam. Ini terbukti apabila dana-dana dalam PNB tidak disenaraikan oleh SC sebagai dana patuh syariah......
Ramai bumiputera berharap agar pihak kerajaan dapat mewujudkan dana-dana yang benar-benar patuh syariah.....
Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan hukum HARUS melabur dalam ASB & sewaktu dengannya, (bkn bermaksud nak mempertikaikan keputusan mufti-mufti...ambo xlayak pun nak pertikaikan)ramai ahli akademik pakar kewangan islam menyatakan sebaliknya, dengan hujah-hujah dan dalil-dalil yang benar.....
So...Kerajaan cube try test wujudkan dana-dana patuh syariah dan kita sama tengok & lihat adakah benar bumiputera tidak berminat dengan amanah saham @ tidak berminat ke mana duit2 dilaburkan.....

p/s: sy bkn belajar ekonomi....tahu laa ckit2 psl benda2 nii drpd pembacaan...