BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Madah Mutiara

.

.

diaktifkan oleh Klik1Malaysia.com

Saturday, April 23, 2011

Poco-poco boleh tapi bersyarat

SEPANG: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang di sini, sejak Rabu hingga semalam memutuskan tidak menghalang orang ramai terbabit dengan tarian poco-poco, selagi tidak melanggar garis panduan ditetapkan.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa itu sudah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu pada 2007 yang boleh dijadikan rujukan berhubung perkara itu.



“Di antara garis panduan ditetapkan adalah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita serta mengawal pergaulan, menjaga etika berpakaian, tidak berbentuk pemujaan dan tidak melakukan ritual atau ibadat orang bukan Islam.

“Jadi, jika berdasarkan garis panduan itu, kita tidak ada halangan... tambahan lagi kita dimaklumkan tarian poco-poco sudah dibuat dengan pelbagai cara dan ada juga pandangan menyatakan ia baik untuk kesihatan.


“Namun, kita menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan melihat kepada garis panduan itu, sekiranya tidak melanggar (garis panduan) dan mendatangkan kesihatan, kita tiada halangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah terbabit di sini, semalam.



Januari lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian poco-poco diharamkan di negeri itu kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh, malah berdasarkan kajian ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Bagaimanapun, Abdul Shukor berkata, pihaknya masih melakukan beberapa kajian terhadap tarian berkenaan sebelum keputusan lanjut berhubung perkara itu diambil. Beliau berkata, keputusan pengharaman tarian itu di Perak masih kekal memandangkan Majlis Agama Islam Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa berhubung sesuatu perkara.



Sementara itu, katanya muzakarah selama tiga hari itu turut membincangkan mengenai penggunaan vaksin untuk jemaah haji dan umrah dan mereka bersetuju penggunaan vaksin Meningitis Mencevax yang sudah digunakan sejak sekian lama di negara ini adalah harus dan dibenarkan.

“Kita sudah meneliti semua pandangan yang diterima dan sudah mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan dan pakar berkenaan. Berikutan itu kita bersetuju ia harus digunakan masyarakat Islam... tambahan pula ia sudah lama digunakan di negara ini,” katanya.

0 comments: